Penjaga Gerai Didakwa Miliki Pisau Panjang Di Tempat Awam

PETALING JAYA – Seorang penjaga gerai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sebilah pisau lipat panjang di tempat awam tanpa kebenaran yang sah, minggu lalu.

Muhammad Annif Md. Salleh, 29, didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau lipat panjang berukuran 0.155 meter tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di kawasan perumahan di Jalan PJS 10/10, Sungai Way, di sini, pada 9 malam, 8 Ogos lalu mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia perlu membantu ibunya di gerai.

“Saya bawa pisau itu kerana hendak pergi memancing, tiada niat lain”, katanya.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 18 Sept untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...