Peniaga Warga Pakistan Dipenjara Merasuahi Polis

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga karpet dan tekstil warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi suapan RM200 kepada seorang anggota polis.

Hakim Mohd Haldar Abd Aziz menjatuhi hukuman itu ke atas Zeb Ghulab, 24, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 8 Jan lepas.

Zeb dituduh memberi suapan tersebut kepada Lans Koperal Sebri Shukri pada kira-kira 8.30 malam dalam mukim Kijal, Kemaman, sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen lesen memandu.

Dia membayar denda itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM Muhammad Zulfadli Mohd Nawawi manakala tertuduh diwakil peguam Mohd Shahir Mat Jusoh. – BERNAMA

Loading...