Peniaga Kerugian Ditipu Kenalan Facebook

KUANTAN – Seorang peniaga kerugian RM28,600 selepas diperdayakan kenalan laman sosial Facebook yang dikenalinya awal tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berusia 42 tahun mendakwa wang itu adalah bayaran pemprosesan bagi mendapatkan hadiah kiriman lelaki tersebut.

“Mangsa mendakwa suspek yang dikatakan seorang jurutera di Scotland telah mengirimkan pelbagai barangan terdiri daripada barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit sebagai tanda penghargaan persahabatan mereka.

“Dia diminta membuat bayaran terlebih dahulu kononnya kepada pihak Kastam sebelum boleh mendapatkan barangan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Wazir menambah, mangsa mendakwa telah membuat bayaran itu secara berperingkat sebanyak 11 kali bermula 11 Februari sehingga Jumaat lepas.

Mangsa bagaimanapun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan semalam, selepas merasakan dirinya ditipu kerana masih tidak menerima barangan yang dijanjikan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Loading...