Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Keputusan PRK Sungai Kandis,...

SHAH ALAM - PAS Selangor menyifat keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan...

Kes Saman: Polis Rakam...

KUALA LUMPUR - Polis hari ini merakam keterangan daripada wartawan penyiasatan Clare Rewcastle-Brown...

Nafi Letak Jawatan, Zeti...

KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz...

Najib Sampaikan Takziah Kepada...

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan takziah...

Pengurusan Kes Rasuah 5 Penjawat Awam & Pesara Polis Pada 5 Jan

BUTTERWORTH – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 Jan untuk pengurusan kes rasuah yang dihadapi lima penjawat awam dan seorang pesara polis yang didakwa menerima suapan antara 2013 dan 2014.

Tertuduh terdiri daripada tiga anggota polis dan seorang pesara polis iaitu Koperal Shahirul Abdul Hamid, 40; Sarjan Muhd Pakhri Hassan, 54; Sarjan Mejar Mohd Yusob Md Rodzi, 48; dan pesara polis Nor Roslan Che Ros, 53.

Dua lagi tertuduh ialah Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Kementerian Dalam Negeri Alias Md Yusof, 40; dan Pembantu Penguat Kuasa, Majlis Perbandaran Seberang Perai Amran Che Anin, 38.

Empat tertuduh menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah daripada Ng Lap Ken, 47, agar tidak mengenakan tindakan terhadapnya yang menjalankan perniagaan video cakera padat (VCD) dan cakera padat digital (DVD) haram di premis bernombor 89, Jalan Tingkat Kurau 4, Taman Chai Leng.

Alias menerima suapan bernilai RM1,500; Shahirul (RM500); Nor Roslan (RM250) dan Muhd Pakhri (RM500) dan mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 24 Sept 2013 dan 17 Okt 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu Amran dan Mohd Yusob menghadapi dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima suapan masing-masing bernilai RM500 dan RM1,000 daripada dua individu.

Amran dituduh meminta suapan bernilai RM500 daripada Mohamed Noor Azman Shaik Othman, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 7 Mac lepas dan tuduhan kedua, terima suapan RM500 pada tarikh sama di nombor 28, Tingkat 1, Taman Penanti, Jalan Penanti, Bukit Mertajam.


Mohamed Noor memberi suapan itu supaya tertuduh tidak mengenakan kompaun ke atas Puncak Mutiara Kristal Sdn Bhd yang melakukan kesalahan membuang sampah iaitu sisa makanan di Pasar Awam Penanti.

Mohd Yusob pula didakwa meminta suapan bernilai RM1,000 daripada Mohd Hasfikin Mohd Said pada 9 Mei lepas, manakala pertuduhan kedua menerima suapan RM1,000 pada 12 Mei lalu di bilik nombor 19, Pejabat Bahagian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan.

Dia didakwa menerima suapan itu untuk membantu menutup kes Mohd Hasfikin yang disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Amran dan Mohd Yusob dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah dan dibantu oleh Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri dan Mohd Firdaus Abdullah.

Shahirul diwakili peguam Abdul Aziz Ibrahim dan Muhd Pakhri diwakili peguam Rafael Abdullah.

Hakim Julie Lack melanjutkan jaminan kepada semua tertuduh. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori