Pengurus Syarikat Binaan Didakwa Bunuh Kekasih

SHAH ALAM – Seorang pengurus syarikat binaan dan perkhidmatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya, Sabtu lepas.

Sobri Abdul Wahab, 40, kelihatan sugul dan mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Dia didakwa membunuh wanita warga Indonesia bernama Gusnima, 38, di Apartmen Seroja di Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini antara pukul 6 petang hingga 8 malam.

Sobri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Khairul Naim Rafidi memohon mahkamah mengguna pakai Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah bagi kes tersebut kerana Sobri dipercayai tidak siuman ketika kejadian.

​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​Katanya tertuduh pernah mempunyai sejarah rawatan berkaitan masalah tersebut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2014 dan 2015 sebelum berhenti dirawat sejak dua tahun lepas untuk berubat secara kampung.

Majistret Rini Triany membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Ipoh, Perak untuk rawatan.

Kes akan disebut semula pada 12 April depan untuk serahan dokumen dan laporan kimia.

Dalam kejadian Sabtu lepas, mangsa yang bekerja sebagai pembantu sebuah kantin sekolah ditemui terlentang dengan 28 kesan tikaman di dapur rumah sewanya di Bukit Jelutong di sini.

Mangsa yang berasal dari Medan, Indonesia itu mempunyai 14 kesan tikaman di leher, lima di belakang badan, empat di perut, tiga di rusuk kiri dan dua lagi di tengkuk. – BERNAMA