Pengurus Besar, Isteri Direman 5 Hari Kes Rasuah

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah daripada Mahkamah Majistret di sini untuk mereman pengurus besar sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan isterinya bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima rasuah.

Perintah reman selama lima hari sehingga 8 Mei itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Pengurus besar berumur 54 tahun dan isterinya, 50, ditahan di ibu pejabat SPRM pada 6.30 petang semalam.

Menurut kenyataan SPRM semalam, berdasarkan siasatan awal, pengurus besar itu disyaki menerima rasuah bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti bas dan pembaikan bas.

Lelaki itu yang pernah menjawat jawatan sebagai ketua pegawai operasi Rapid Penang
dipercayai menerima rasuah berjumlah RM 500,000 sejak tahun 2013 menerusi beberapa
projek yang dilaksanakan atas penyeliaannya, katanya.

“Wang rasuah yang diterima turut dimasukkan ke dalam akaun milik isterinya juga sejak 2013,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana meminta/menerima rasuah yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan. – BERNAMA