Pengubahan Wang Haram: Pemilik Syarikat Didakwa

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat tekstil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram, berjumlah RM300,000 tahun lepas.

Bagi semua pertuduhan itu, M.Kumaraguru, 46, didakwa menerima wang berjumlah RM300,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik Mentari Maju Textiles yang tertuduh merupakan pemilik tunggal perniagaan itu.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di RHB Bank Berhad, RHB Islamic, Cawangan Utama Kuala Lumpur di Tingkat 1 UOA Centre, No. 19 Jalan Pinang di sini , antara 17 Jan dan 23 Feb 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama dan dibaca bersama subseksyen 87(1) akta serupa.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar menawarkan jaminan RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin memandangkan kesalahan dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan melibatkan jumlah wang RM300,000.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya mengalami penyakit kekejangan di bahagian kiri muka dan memerlukan rawatan susulan di hospital.

Hakim Hasbullah Adam membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 23 April untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…

Loading...