Penggunaan Belon Bergas Dihentikan Sementara – MB

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengharamkan seketika penggunaan belon bergas khususnya pada majlis-majlis rasmi kerajaan negeri serta-merta.

Ia ekoran insiden belon meletup yang mencederakan 30 orang di Dataran Batu Burok, semalam – sesetengah mangsa melecur di muka, tangan dan leher.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkata langkah pengharaman itu dilakukan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang menimpa orang ramai terutama kanak-kanak.

“Arahan serta-merta dikeluarkan agar tiada penggunaan belon pada majlis kerajaan buat sementara waktu… langkah ini diambil untuk mengelak kejadian sama daripada berlaku.

“Maklumat awal kita mendapati bahawa belon itu menggunakan gas helium, tetapi saya hairan kerana sekiranya gas itu (helium), kesannya tidaklah seteruk apa yang telah berlaku,” katanya kepada media selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.00 pagi itu, sekitar 150 biji belon yang dipercayai berisi gas helium meletup selepas seorang kakitangan HSNZ cuba memutuskan benang yang mengikat belon dengan menggunakan pemetik api ketika sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Negeri.

Encik Ahmad Razif dalam pada itu berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan dan sedang menunggu beberapa lagi laporan daripada pihak tertentu berhubung kejadian itu.

Katanya, pihaknya akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penguatkuasa untuk memantau penjualan belon terutama di kawasan pantai di negeri itu bagi melihat penggunaan gas di dalam belon yang dijual supaya tidak mengakibatkan letupan atau kebakaran.

Beliau yang turut berdukacita dengan insiden yang berlaku itu sedang meneliti bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa yang sebahagian besar adalah kanak-kanak.

“Kita akan pastikan apa yang berlaku ini tidak memberi kesan seperti trauma, kecacatan dan sebagainya kepada mangsa kerana mereka adalah kanak-kanak yang berhak mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sehingga kini, seramai tujuh mangsa masih dirawat di HSNZ dan mengalami kecederaan dari dua hingga 19 peratus melecur di bahagian muka, leher dan tangan.

Empat mangsa berusia 12 hingga 33 tahun ditempatkan di Wad Kebakaran, dua lagi berumur 11 dan 12 tahun di Wad Plastik serta seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) manakala 24 mangsa dirawat sebagai pesakit luar. – BERNAMA

Loading...