Pengerusi Mywatch ‘Diintip’ 2 Polis

Kuala Lumpur – Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan mendakwa diintip dua lelaki mengaku sebagai anggota polis yang berada di hadapan rumahnya di Country Heights, Kajang, Selangor.

Beliau mendakwa melihat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dinaiki dua lelaki berhenti di hadapan rumahnya dalam keadaan mencurigakan jam 12.20 tengah hari kelmarin.

Katanya, beliau menghampiri MPV itu dan menyoal kedua-dua lelaki terbabit berhubung tujuan mereka berada di hadapan rumahnya.

“Mereka memberi alasan menunggu rakan. Saya kemudian meminta pengawal keselamatan untuk membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki itu.

“Ketika disoal pengawal keselamatan, mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan sedang mencari ‘sasaran’ di lokasi berkenaan,” katanya.

Sanjeevan berkata, beliau kemudian bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung kejadian itu.

“Saya bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarga sekiranya ada pihak yang berniat jahat terhadap saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut. – MyMetro

Loading...