Pengarah Syarikat Direman Kes Beri Projek JKPSB

GEORGE TOWN – Seorang pengarah syarikat ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung pemberian beberapa projek dipercayai membabitkan syarikat JKP Sdn Bhd (JKPSB).

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Muhammad Azam Md Eusoff selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Lelaki berumur 50 tahun itu, yang memakai baju lokap SPRM berwarna oren, tiba di perkarangan mahkamah di sini kira-kira 10.20 pagi dengan diiringi anggota SPRM pagi dan beredar kira-kira 30 minit kemudian.

Sementara itu, peguam A. Rubankumar yang mewakili lelaki itu, berkata anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 15 Akta SPRM 1997.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri berkata lelaki terbabit ditahan ketika beliau hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung penahanan itu dan hanya memberitahu bahawa ia berkaitan pemberian beberapa projek kepada syarikat itu oleh pekerja syarikat JKP.

Ahmad Ghazali berkata SPRM sedang mencari seorang lagi individu dari JKP bagi membantu siasatan berkenaan. – BERNAMA