Penganjur Program ‘Sentuh Anjing’ Tawar Sayur Percuma Di Masjid

Individu bernama Syed Azmi Alhabshi pernah dicaci dengan pelbagai kata-kata kesat dan tuduhan melampau seperti murtad selepas berita penganjuran program ‘I Want To Touch A Dog’ tersebar luas di media.

Namun, tekanan tersebut tidak menghalang minatnya melakukan kerja amal melibatkan masyarakat.

Terbaharu, menerusi akaun Facebook peribadinya, Syed Azmi menguar-uarkan satu program anjurannya yang akan mendedahkan masyarakat dengan pasar percuma (free market) bagi hasil mentah seperti sayuran.

Untitled

Bakal diadakan di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya pada pukul 10 pagi sehingga 1 tengah hari Ahad ini, Syed Azmi dan rakan-rakannya akan menyediakan sayuran percuma kepada mereka yang kurang bernasib baik, juga kepada golongan yang berhadapan masalah perbelanjaan.

Selaku penganjur mereka juga menyeru orang awam tampil mendermakan barangan terpakai seperti alatan elektrik, pakaian dan perabot yang masih berada dalam kondisi baik namun sudah tidak digunakan lagi.

Bagi sesiapa yang ingin terlibat dalam program ini, boleh menghubungi Syed Azmi melalui akaun Facebook ataupun terus berjumpa pada pukul 9.30 pagi di perkarangan masjid.

Memang murni niat Syed Azmi dan rakan-rakannya untuk membantu pihak kurang bernasib baik. Apa kata mereka yang mengeji dahulu, kali ini sama-sama turun padang bagi menjayakan aktiviti yang terang-terangan tak salah malah mendatangkan pahala ini.

Biar pun Syed Azmi mungkin pernah tersilap langkah, namun bila dia mahu melakukan sesuatu yang mulia, apa salahnya menyokong kan? – MYNEWSHUB.CC

Oleh : IZZAT MOHD ANUAR

Loading...