Penganjur Baharu Yakin LTdL 2015 Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR – Penganjur baharu perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) yakin edisi ke-20 yang bakal berlangsung pada 8 hingga 15 Mac ini akan berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif, Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Malik Mydin berkata pihaknya mendapat persetujuan daripada pasukan yang akan mengambil bahagian dan kini cuma masih berunding berkenaan yuran penampilan sahaja.

“Kita sudah dapat pengesahan penyertaan dengan semua pasukan, sekarang kita hanya berunding dengan pembayaran mereka saja. Setiap minggu kita akan maklumkan nama-nama pasukan tersebut,” katanya, hari ini.

Dua pasukan terawal mengesahkan penyertaan ialah Torku Sakerspor dari Turki dan Orica-GreenEDGE dari Australia.

Malik berkata beliau yakin perlumbaan berstatus ‘hors classe’ itu akan diuruskan dengan baik seperti beberapa tahun sebelum ini, sekalipun mereka menerima pelbagai kritikan dalam aspek promosi, laluan perlumbaan serta pemilihan komisar Asia.

Laluan LTdL 2015 sejauh lebih 1,000 kilometer dipendekkan kepada lapan peringkat berbanding 10 sebelum ini.

Malik berkata beliau tidak menafikan promosi penganjuran LTdL 2015 kali ini kurang menyerlah kerana pihaknya hanya mengambil alih penganjuran berprestij itu bermula Disember tahun lalu.

“Namun sejak Disember lalu, orang ramai maklum dengan penganjuran kali ini, dari segi promosi dalam media elektronik pula, kita mahu kru yang boleh menyediakan klip yang terbaik bagi menjaga kualiti perlumbaan ini,” katanya.

Selain itu, Malik berkata perlumbaan berprestij itu juga akan menjadi platform kepada komisar dari Asia menunjukkan kredibiliti dalam mengendalikan acara berprestij itu.

“LTdL ada peminat tersendiri, dan kini mahu menekankan kepada liputan media antarabangsa. Kru yang bekerja dengan saya kali ini mempunyai kemahiran serta pengetahuan bagi penganjuran LTdL ini.

“Laluan masih mencabar, kebanyakan laluan di Malaysia ini dilalui oleh pelumba LTdL, cuma kita akan mengubah sedikit laluan,” katanya. – BERNAMA