Pengambilalihan Splash Di Bawah Nilai Pasaran

SHAH ALAM – Tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Sela­ngor Sdn Bhd (SPLASH) berjumlah RM2.55 bilion oleh Pengurusan Air Selangor Sdn…

SHAH ALAM – Tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Sela­ngor Sdn Bhd (SPLASH) berjumlah RM2.55 bilion oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) adalah lebih rendah daripada harga pasaran.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, nilai pengambilalihan itu juga lebih rendah daripada jangkaan harga yang dibuat oleh badan penilai bebas antarabangsa.

“Apabila anda buat tawaran yang tidak boleh diterima pada 2013 dan 2014, akhirnya kita terpaksa tangguhkan (proses pengambilalihan) sehingga lima tahun dan penilaian harga pengambilalihan SPLASH yang sepatutnya antara RM1.9 bilion kepada RM2 bilion telah meningkat menjadi RM3.5 bilion.

“Sebab itu persetujuan antara pembeli dan penjual ialah penyelesaian yang sangat boleh diterima dan ia berdasarkan situasi menang-menang. Akhirnya selepas rundingan, harga yang kita peroleh adalah di bawah harga pasaran dan di bawah penilaian yang dibuat penilai bebas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat Belanjawan 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bahawa kerajaan negeri telah membayar lebih 10 kali ganda untuk pengambilalihan SPLASH berbanding tawaran nilai pengambilalihan ketika pentadbiran beliau (Abdul Khalid) pada 2013.

Abdul Khalid mendakwa, strategi itu bakal memberi peluang kepada pemilik saham SPLASH mendapat keuntungan serta pampasan yang berlebihan dan pada masa sama turut meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi.

Jelas Amirudin, kerajaan negeri harus objektif dalam misi untuk menyelesaikan penstrukturan air dan memastikan perkhidmatan air di Selangor berada dalam keadaan terbaik.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengkaji semula program air percuma supaya lebih fokus kepada golongan berpendapatan rendah B40, beliau berkata. perkara itu akan dibincangkan dalam ‘pemukiman’ pelaksanaan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Ia bukan sahaja air,selepas 10 tahun, sudah tiba masanya kita kaji semula IPR, tengok dan semak mana yang sesuai, mana yang diterima pakai, mana yang mungkin begitu membebankan kerajaan dan saya akan bentangkan konsep IPR selepas 10 tahun kita laksanakan dalam pembentangan Bajet 2019, November ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM500 juta untuk penggantian paip-paip lama dalam tempoh tiga tahun ini.

Menurut beliau, menerusi penggantian paip-paip itu juga kerajaan negeri telah berjaya mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 33 peratus kepada 30 peratus.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, kerajaan negeri telah menggantikan paip-paip lama sepanjang 400 kilometer daripada panjang keseluruhannya kira-kira 22,000 kilometer dan kita berjaya kurangkan NRW kepada 30 peratus, salah satu pencapaian terbaik untuk kerajaan negeri dan Air Selangor,” katanya. – BERNAMA

Loading...