Penduduk Raikan Maal Hijrah Dengan Bersukan

BALING –  Penduduk Mukim Pulai di sini tampil berbeza dalam meraikan sambutan Hari Malaysia dan Maal Hijrah dengan mengadakan Temasya Sukan Rakyat di bendang.

Pengerusi Temasya Sukan Rakyat, Kamil Yusoff  berkata, pemilihan sawah padi sebagai lokasi pertandingan adalah untuk mengeratkan hubungan dua generasi di mukim ini.

“Sawah ni banyak memberi signifikan kepada golongan orang lama manakala generasi muda pula semakin menjauhi aktiviti berkaitan sawah.

“Jadi, sempena sambutan Hari Malaysia dan Maal Hijrah,  kami satukan kembali dua generasi ini dengan mengadakan sukan di sawah. Kami mahu golongan muda ini merasai keseronokan bergelumang dalam selut dan air sawah, ” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian di Kampung Setol di sini hari ini.

Temasya tersebut menarik hampir 1,000 penduduk dengan lebih 16 acara pelbagai kategori dipertandingkan termasuk pertandingan menangkap itik, panjat tiang licin dan tarik tali yang dijalankan di dalam sawah.

Pada masa sama, temasya tersebut dilihat sebagai peluang komunti Mukim Pulai bertanya khabar kepada mangsa yang mengalami banjir dan ribut baru-baru ini.

“Rata-rata penduduk di sini baru saja dilanda musibah seperti banjir kilat dan ribut dengan mereka mengalami kerosakan harta benda yang bukan sedikit.

“Jadi temasya ini antara cara kami  menggembirakan mereka terutama kanak-kanak. Dalam bersukan, kita turut mengambil peluang bertanya khabar selepas berlakunya musibah ke atas mereka,” jelasnya.

Sementara Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd Noor Mohd Amin berkata, temasya itu memberi signifikan kepada penduduk terutama golongan belia dalam melahirkan generasi yang lebih sihat.

“Temasya ini juga memberi peluang kepada golongan muda  menjadi peneraju kepada program berskala besar yang lazimnya diuruskan oleh golongan yang lebih dewasa atau veteran.

Mohd Noor juga mahu sukan rakyat ini diteruskan bagi tatapan dan diingati generasi muda akan datang memandangkan aktiviti itu  semakin dilupakan.

“Biar kanak-kanak dan remaja di sini merasa betapa seronoknya bergelumang dengan selut sawah dan paling penting setiap acara yang dipertandingkan mengajar mereka bekerjasama tanpa mengira status ekonomi atau sosial,” katanya. – BERNAMA

Loading...