Pemimpin USBO Buat Kunjungan Hormat Ke Atas Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Anggota-anggota majlis Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen di sini.

Kunjungan hampir sejam itu diketuai Yang Dipertua, Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku pemangku Presiden USBO.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Pandikar Amin berkata kunjungan hormat itu diadakan bagi membincangkan matlamat USBO yang berikrar menyokong kepimpinan Najib selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri ini telah diatur sejak sekian lama memandangkan USBO merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang unik kerana ia satu-satunya NGO yang menjadi ahli gabungan Sabah dalam BN,” katanya.

Beliau berkata Sabah masih kekal sebagai ‘simpanan tetap’ BN dan kepimpinan baharu dan veteran USBO sentiasa bersedia membantu parti memantapkan usaha menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Pandikar Amin menjalankan tugas sebagai Presiden USBO berikutan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak mengambil cuti sebagai presiden badan bukan kerajaan itu, yang merupakan anggota gabungan BN bagi menumpukan tugas sebagai menteri dalam Kabinet Persekutuan.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Presiden USBO, Datuk Salsidu Ibrahim dan Datuk Amir Kahar Tun Mustapha serta setiausaha agungnya, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur yang juga Anggota Parlimen Silam. – BERNAMA

Loading...