Pemilik Sekolah Maritim Maut Kejadian Langgar Lari

MIRI – Seorang pemilik sekolah maritim di bandar raya ini maut dalam kejadian langgar lari awal pagi tadi di Permyjaya, di sini.

Mangsa, Mohamad Alli Haji Mat, 69, yang juga Pengarah Urusan AMR Maritime Academy Sdn Bhd mati di tempat kejadian selepas kenderaan dipandunya dilanggar dari arah belakang.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kuching mengalami kecederaan serius di kepala dan beberapa bahagian di badannya berikutan impak pelanggaran yang kuat.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat.

Keluarga mangsa berlepas ke Miri sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu bagi menguruskan proses membawa pulang jenazah ke Kuching untuk dikebumikan. – BH Online