Pembantu Teknik Didakwa Jual, Salah Guna Harta TM

JOHOR BAHRU – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini di atas pertuduhan memiliki, menjual dan menyalah guna harta milik Telekom Malaysia (TM), Disember lepas.

Tertuduh Mohd Areza Suhaimie, 29, dan Azmi Zainal, 30, merupakan pembantu teknik di TM, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Mohd Areza dan Azmi, dituduh melakukan perbuatan itu di Ibu Sawat TM, Tampoi, dekat sini pada pukul 3 petang, 21 Disember 2017.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang.

Kes akan disebut semula pada 20 Mac ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurdiyanah Mohd Nawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Eddin Syazlee. – BERNAMA