Pembantu Chef Didakwa Pukul Majikan

PETALING JAYA – Seorang pembantu chef didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memukul majikan lelakinya dengan pisau dan topi keledar, bulan lepas.

Rizal Abd Hatim, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Siow Woon Sin, 30, sehingga patah tulang pipi sebelah kanan, tulang hidung sebelah kiri, bahagian bawah orbital mata sebelah kanan dan menerima empat jahitan pada bahagian belakang bahu sebelah kanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan selepas Stesen Minyak Petronas Puncak Jalil 7, Persiaran Puncak Jalil, Bandar Kinrara, Puchong, di sini pada 11.20 malam, 18 April lepas mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman mencadangkan wang jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang sesuai.

Peguam Mohd Yusri Mohd Yusoff yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menyara keluarga dan ibu bapa, namun telah diberhentikan kerja berikutan pertuduhan yang dihadapinya selain bersedia dengan sebarang syarat tambahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan serta 7 Jun untuk sebutan semula. – BERNAMA

Loading...