Pembalakan, Ceroboh & Dadah Tumpuan Polis Marin

KUCHING – Polis marin akan meningkatkan usaha membanteras kes pembalakan haram, pencerobohan warga asing termasuk nelayan dan penyeludupan dadah di Sarawak, menerusi kerjasama berterusan dengan agensi penguatkuasaan lain.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Polis Marin Sarawak mengendalikan 29 kes berkaitan Ordinan Perhutanan Sarawak 2015, peningkatan ketara berbanding 28 kes sepanjang tahun lepas.

Nilai kayu balak yang dirampas sepanjang tahun lepas ialah kira-kira RM8.8 juta namun untuk sembilan bulan pertama tahun ini rampasan yang dibuat menjangkau RM7.2 juta, katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Sarawak, bersempena lawatannya ke sini hari ini.

Abdul Rahim berkata antara kawasan yang akan diberi tumpuan ialah Kapit, Sarikei dan Sibu manakala bagi mengekang pencerobohan warga asing khususnya nelayan, penguatkuasaan akan diperhebat di sekitar Pelabuhan Tanjung Manis dan Bintulu.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini juga Polis Marin Sarawak mengendalikan 11 kes berkaitan penyeludupan dadah yang dibawa masuk menerusi sungai dan laut.

Sehubungan itu katanya polis marin akan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dan memberi tumpuan di kawasan sempadan seperti Lawas, Limbang dan Tanjung Datu.

Menurutnya selain aktiviti penguatkuasaan, polis marin juga berazam untuk membanyakkan pembabitkan dalam aktiviti-aktiviti yang berbentuk membina kesedaran orang ramai mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan semasa di sungai, dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Abdul Rahim berkata dalam tempoh antara Januari dan September tahun ini Polis Marin Sarawak mengendalikan 550 kes berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di kawasan perairan negeri, peningkatan ketara berbanding 421 kes sepanjang tahun lepas.

Berdasarkan statistik yang diberikan kepada media pada sidang akhbar itu kes berkaitan pelanggaran Ordinan Sungai-sungai Sarawak 1993 mencatatkan jumlah terbesar tahun ini pada 407 kes setakat ini. – BERNAMA

Loading...