CHENNAI – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menemui pemangku Gabenor Tamil Nadu, Vidyasagar Rao dan Ketua Menteri negeri itu yang baru dilantik, Edappadi Palaniswami ketika memulakan lawatan rasmi enam hari ke India.
Pertemuan berlangsung di Raj Bhavan, kediaman rasmi Gabenor yang terletak di bandar Chennai.
Najib, yang tiba di kediaman itu pada 6.30 petang (waktu tempatan) disambut mesra oleh para pemimpin negeri di Selatan India itu sebelum mereka mengadakan mesyuarat tertutup bersama delegasi masing-masing yang berlangsung hampir setengah jam.
Turut menyertai mesyuarat ialah Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid dan Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Ahmad Fajarazam Abdul Hamid.
Rao selaku Gabenor Maharashtra, mengangkat sumpah sebagai Pemangku Gabenor Tamil Nadu sejak September tahun lepas kerana tempoh K Rosaiah sebagai Gabenor berakhir pada 30 Ogos.
Rao, 76, seorang peguam, ialah pemimpin kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) dari Telangana dan telah berkhidmat sebagaui Menteri Kesatuan Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan seterusnya sebagai Menteri Kesatuan Negara bagi Perdagangan dan Industri dari 1999 hingga 2004.
Sementara itu, Palaniswami atau digelar EPS (singkatan jika Edappadi Palaniswami) mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-13 dan sekarang pada 16 Feb tahun ini.
Palaniswani, 63, seorang ahli pertanian, ialah pemimpin kanan All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam.
Najib dan delegasi Malaysia kemudian diraikan pada majlis jamuan malam rasmi yang dihoskan oleh Rao di Dewan Durbar, Raj Bhavan. – BERNAMA