Pemandu Teksi Uber Ditangkap Kerana Merogol Di India

Seorang pemandu teksi terkenal antarabangsa Uber di India yang disyaki merogol penumpang wanitanya berusia 27 tahun ditahan Jumaat lepas sebelum sempat melarikan diri ke Nepal.

Suspek, Shiv Kumar Yadav dikatakan menghubungi isteri dan anak tirinya untuk menyiapkan beg pakaiannya untuk tujuan itu bagi mengelak ditahan.

Percubaannya gagal, apabila polis India berjaya mengesan pergerakannya dan menangkapnya di Uttar Pradesh.

MENARIK – Kes Buli Terbaru – Wanita Ditampar Pemandu Teksi 

“Suspek membeli telefon bimbit dan kad SIM baharu di Mathura untuk menghubungi keluarganya dan memaklumkan dia terbabit dalam pergaduhan dengan seseorang.

“Dia juga mendakwa ada pihak yang cuba membabitkannya dengan tuduhan palsu dan dengan itu mereka sekeluarga perlu meninggalkan rumah sewa yang didiami di Chandrapuri,” kata pegawai kanan polis berhubung kes itu.

Siasatan polis mendapati, suspek menggunakan tiga telefon bimbit dan polis membawanya ke Meerut untuk mendapatkan semula telefon pintar yang dilengkapi aplikasi Uber digunakannya untuk melakukan jenayah.

Sepanjang tempoh tahanan tiga hari, polis juga sedang menyiasat sama ada suspek pernah melakukan jenayah sama terhadap penumpang wanita yang lain.

Dalam kejadian Jumaat lalu itu, mangsa menaiki teksi di kawasan Vasant Vihar pada pukul 10.58 malam dan suspek dilaporkan menyerang penumpangnya itu di sebuah kawasan terpencil di ibu kota India.

“Dia memakir teksinya di kawasan sampah berhampiran Najafgarh selepas merogol mangsanya,” kata Timbalan Komisioner (Utara) Madhur Verma.

Mangsa bertindak menghubungi panggilan kecemasan pada pukul 1.16 pagi sebelum ditemui di tempat kejadian beberapa minit kemudian dan dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan.

Kejadian tersebut memberi kesan buruk kepada syarikat teksi berkenaan, yang selama ini mementingkan keselamatan, lapor Yahoo.news.

Pihak polis juga mengkritik Uber kerana siasatan menunjukkan bahawa peranti GPS tidak disertakan dalam teksi suspek, malah pemeriksaan mandatori oleh pihak polis terhadap pemandu juga tidak dilakukan. – MYNEWSHUB.CC

Oleh : IBNU K 

Leave a Reply