Pemandu Teksi Singapura Gaji Cecah RM15,000 Sebulan

SINGAPURA – Biarpun ramai peniaga mengeluh mereka kerugian besar ekoran pelanggan Malaysia enggan membeli barangan akibat matawang dollar Singapura terlalu ‘kuat’ di pasaran global, lain pula cerita pemandu teksi di republik itu.

Di sebalik kelesuan ekonomi dengan KDNK 3 peratus tahun lalu iaitu terendah dalam sejarah atau separuh daripada KDNK 6 peratus dicatatkan jirannya, Malaysia; pemandu teksi Singapura sebaliknya masih lagi boleh ‘tersenyum’ lebar.

Kajian terbaharu pihak pemerintah republik itu mendapati, pendapatan bulanan bersih secara purata setiap pemandu teksi di Singapura sepanjang tahun lalu direkodkan sekitar S$3,170 (RM8,460) bagi operasi standard selama satu syif.

BACA : Singapura Terus Kekal Bandar Paling Mahal Di Dunia

Malah, pendapatan bersih mereka sebenarnya boleh mencecah sehingga S$5,900 (RM15,745) sebulan jika pemandu teksi berkenaan sanggup bekerja lebih masa iaitu dua syif terutama pada musim perayaan atau cuti umum.

Perkara yang amat mengejutkan itu didedahkan oleh Menteri Tenaga Manusia Singapura, Tan Chuan Jin dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Khamis, terhadap soalan daripada wakil rakyat GRC Tampines, Irene Ng.

Ahli parlimen wanita tersebut bertanya mengenai purata pendapatan tahunan setiap pemandu teksi di Singapura selain jumlah sebenar pemandu terbabit dan tahap kelayakan mereka yang bekerja dalam perkhidmatan itu.

Chuan Jin berkata, sehingga akhir Disember tahun lalu, seramai 98,477 rakyat Singapura memiliki lesen vokasional teksi, namun kira-kira 56,000 daripada jumlah itu berdaftar sebagai pemandu bergaji dengan syarikat teksi tempatan.

Meskipun pendapatan lumayan, agak menyedihkan apabila rekod menunjukkan 4 daripada setiap 5 pemandu teksi berusia 50 tahun ke atas; dan 9 daripada setiap 10 pemandu pula tidak memiliki taraf kelayakan pengajian yang tinggi.

Terdapat enam syarikat teksi di Singapura yang mempunyai keseluruhan 28,558 buah kereta dengan paling besar, popular dan tertua di republik itu, Comfort ditubuhkan sejak 1970 serta memiliki 12,608 buah teksi berwarna badan biru.

Kadar tambang teksi juga ditetapkan berdasarkan faktor penawaran pasaran semasa sejak 1998 bagi mewujudkan persaingan sihat dan menggalakkan rakyat lebih selesa memilih pengangkutan awam berbanding memandu kereta persendirian.

Perkhidmatan teksi di Singapura adalah antara paling cekap di dunia dan dipantau ketat Lembaga Pengangkutan Darat dengan pemandu yang gagal guna meter atau enggan ambil penumpang boleh didenda sehingga S$500 (RM1,334). – Agensi

Loading...