Pemandu Lori Didakwa Cederakan Remaja Hingga Parah

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap seorang remaja menggunakan sebilah parang.

N. Mugilan, 24, dituduh melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi yang masih bebas terhadap K. Tines, 18, di depan lif, tingkat 9, di PPR Seri Alam, Jalan Sungai Besi, di sini pada 1.30 petang, 17 September tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Zaman Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta diperintah melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 11 November untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Karamjit Singh. – BERNAMA

Loading...