Pemandu Dipenjara Guna Lambang, Gelaran Tidak Diiktiraf

IPOH – Seorang pemandu dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan menggunakan pelbagai lambang, logo, cop serta gelaran palsu, Mac lalu.

Majistret Siti Hafiza Jaafar memerintahkan tertuduh Shahirul Syafiq Shaharin, 31, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Mac 2018.

Tertuduh didakwa memiliki dan menggunakan pelbagai lambang, logo, cop dan gelaran yang tidak diiktiraf untuk kegunaan sendiri di sebuah rumah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, kira-kira pukul 11.45 pagi, 30 Mac 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tak wajar) 1963, yang boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, hasil semakan mendapati sijil watikah penganugerahan darjah kebesaran bintang dan pingat atas nama tertuduh adalah palsu dan tiada dalam rekod Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat persekutuan serta Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri.

Tertuduh juga didapati mengaku sebagai Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri dengan gelaran ‘Datuk Seri’ dan telah menawarkan pingat kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran ‘Datuk’ yang dianugerahkan oleh kerajaan Persekutuan bagi pihak Yang Di-Pertuan Agong kepada seorang doktor dengan bayaran kira-kira RM110,000.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras.

Terdahulu, Shahirul Syafiq yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah agar meringankan hukuman yang dikenakan ke atasnya kerana dia telah menginsafi kesilapan tersebut.

“Saya berjanji selepas menjalani hukuman, saya akan menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dan menghormati kedaulatan negara,” kata bapa kepada dua anak itu. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...