Pemaju Digalak Reka Lebih Banyak ‘Bangunan Hijau’

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa menggalakkan pihak pemaju di negara ini untuk menyediakan rekaan bangunan yang mempunyai ciri-ciri bangunan hijau untuk manfaat jangka panjang.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata usaha itu akan terus dilaksanakan walaupun terdapat kekangan dari segi peraturan rekaan bangunan.

“Pemaju perlu menghantar rekaan bangunan yang telah disiapkan kepada Majlis Bandaraya untuk kebenaran merancang. Sehingga kini sudah ada rekaan bangunan daripada pemaju yang mempunyai ciri-ciri bangunan hijau.

“Ini termasuk rekaan pendingin hawa, tadahan air hujan yang boleh digunakan di semua tandas bagi membolehkan air terawat digunakan untuk tujuan lain,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mojigoh ingin tahu sama ada kerajaan menggalakkan pemaju mematuhi rekaan bangunan bercirikan bangunan hijau bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melestarikan alam sekitar.

Justeru, Mahdzir berkata setakat ini semua negeri termasuk di Kota Kinabalu, Kuching serta beberapa bandar lain mempunyai bangunan bersifat mesra alam dan mencapai pengiktirafan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“Ada beberapa bangunan hijau yang berstatus perak, emas dan platinum. Namun bangunan berstatus platinum masih tidak banyak,” katanya memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi galakan kepada pemaju untuk membangunkan bangunan menepati garis panduan GBI.

Status platinum merupakan peringkat tertinggi pengesahan dalam standard bangunan mesra alam.

Menjawab soalan daripada Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) pula, Mahdzir berkata kerajaan juga akan menggiatkan pelbagai program kesedaran kepada masyarakat mengenai teknologi hijau dan bangunan hijau yang membawa persekitaran baik untuk kehidupan.

Katanya kerajaan telah menubuhkan Yayasan Hijau (YaHijau) Malaysia bertujuan membantu kerajaan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan gaya hidup mementingkan alam sekitar dalam kalangan rakyat negara ini.

Yayasan itu dilancarkan Mac lepas selaras dengan pengumuman penubuhannya yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2014. – BERNAMA

Loading...