Peluang Beli Durian Di R&R Gelang Patah Dari 26-28 Ogos

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengadakan ‘Pesta Durian PLUS’ dan jualan buah-buahan tempatan selama tiga hari bermula Jumaat ini di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah arah ke selatan di Km 5.1 Lebuh Raya Link Kedua.

PLUS dalam satu kenyataan hari ini berkata acara yang bermula 9 pagi hingga 5 petang itu menawarkan pelbagai gred dan jenis durian dengan diskaun istimewa kepada pengguna lebuh raya berkenaan.

Selain mempromosikan penjualan buah-buahan tempatan di kawasan R&R, acara yang dianjurkan sejak 2007 itu diadakan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 50 tan durian dan buah-buahan seperti rambutan dan manggis didatangkan khas dari kawasan sekitar Johor termasuk Segamat dan Tangkak untuk pengunjung kawasan R&R berkenaan. – BERNAMA

Loading...