Pelajar Tingkatan Empat Maut Dirempuh Kereta

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tingkatan empat terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat stesen minyak Batu Buruk, di sini awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Mohammad Farhan Mohd Rosdi, 16, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata kejadian dikatakan berlaku apabila pemandu kereta jenis Honda Accord, Mohd Fadhir Sulong bersama dua penumpang datang dari arah Batu Buruk menuju ke Marang.

Beliau berkata, setiba di persimpangan itu, lampu isyarat di laluan kereta berkenaan bertukar hijau dan meneruskan perjalanan menghala ke Marang.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba mangsa yang datang dari arah Padang Negara dikatakan membelok ke kanan menuju ke stesen minyak menyebabkan kereta itu gagal mengelak lalu bertembung dengan mangsa.

“Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak dan kepalanya terhantuk pada cermin hadapan kereta lalu meninggal serta merta di tempat kejadian,” katanya di sini.

Idris berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Lerek, Tepoh di hantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dituntut keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BH Online

Loading...