Pelajar Tidak Buat Rayuan Setelah Dibuang Sekolah

KUALA TERENGGANU – Hampir 40 peratus pelajar yang dibuang sekolah di Terengganu dikesan tidak membuat rayuan untuk kembali bersekolah dan lebih cenderung bekerja meskipun pada usia yang masih muda.

Pengarah Pendidikan Negeri Shafruddin Ali Hussin berkata kira-kira 1,300 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini yang dibuang sekolah pada 2017 dan ada pelajar serta keluarga yang tidak membuat rayuan kerana sudah hilang minat belajar dan mempunyai masalah keluarga.

Antara penyebab tindakan dibuang sekolah ialah salah laku berulang kali dan ada kalanya pihak sekolah mengenakan tindakan penggantungan sekolah bagi pelajar berkelakuan liar serta mengganggu dengan tidak dibenarkan memasuki sekolah sehingga 14 hari.

Katanya 30 peratus kes buang sekolah disebabkan tidak hadir ke sekolah secara berterusan dan peratusan sama turut melibatkan masalah disiplin atau salah laku disiplin.

“Kebanyakan murid yang dibuang sekolah boleh diterima semula (untuk bersekolah) apabila merayu ke JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) atau PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), namun bergantung kepada kes yang melibatkan pelajar dan juga jarak daripada penempatan terdekat.

“Polisi pendidikan, jika dibuang sekolah kerana ketidakhadiran mereka boleh diterima di sekolah asal tetapi jika dibuang sekolah disebabkan masalah disiplin kita galakkan mereka ditempatkan di sekolah yang berlainan,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya secara keseluruhan kes pelajar dibuang sekolah masih terkawal jika dilihat kepada jumlah pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini iaitu 240,000 orang.

Tambahnya isu ketidakhadiran dan salah laku murid telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan negeri dan daerah yang diketuai beberapa pemimpin negeri yang memberi fokus utama tentang masalah kehadiran murid.

“Masalah pengangkutan untuk daerah pedalaman seperti di Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman dan Dungun masih menjadi antara penyebab ketidakhadiran selain beberapa faktor lain seperti kecenderungan murid tidak hadir pada hari Ahad kerana perhimpunan sekolah,” katanya.

Shafruddin berkata banyak langkah intervensi telah dibuat oleh JPN dan PPD untuk mengatasi masalah itu dan pihak sekolah sendiri telah meningkatkan disiplin murid, malah intervensi yang melibatkan antara jabatan dan agensi lain juga dilakukan.

“Setiap PPD juga ada mengadakan majlis pemuafakatan antara agensi dengan PPD, malah guru ada memberi kaunseling kepada pelajar secara berterusan termasuk keluarga, jika mereka tampil mendapatkan bantuan,” katanya

Bagi membendung gejala keciciran dalam akademik, beliau berharap ibu bapa dapat memantau pergerakan anak-anak supaya tidak mudah terpengaruh dan mengelak daripada melakukan pelbagai perkara yang akan mengundang pelbagai risiko dibuang terutama terlibat dalam jenayah. – BERNAMA

Loading...