Pelajar Di Luar Negara Harus Peka Isu Semasa Di Malaysia

MEDAN – Pelajar di luar negara harus peka dan memahami perkembangan isu semasa di Malaysia agar mereka dapat membetulkan segala persepsi yang salah mengenai sesuatu isu.

Atase Pendidikan Malaysia di Indonesia Mohamad Hidayat Mohamad Sauffi berkata, sebagai contohnya para pelajar perubatan haruslah mempunyai pengetahuan mengenai isu halal dan haram vaksin serta perkara yang meragukan rakyat.

“Walaupun sebagai pelajar di luar negara, bakal pengamal perubatan haruslah melengkapi diri dengan isu-isu semasa di Malaysia supaya apabila pulang ke tanah air, kita bersedia untuk menjawab dan menerangkan segala kemusykilan mengenai masalah perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ucaptama sempena Konvensyen Perubatan 2016 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) di sini.

Konvensyen yang bertujuan mengupas etika dan kontroversi dalam bidang perubatan itu disertai lebih 100 pelajar perubatan dan pergigian dari universiti-universiti di Sumatera dan dirasmikan Konsul Jeneral Malaysia di Medan Amizal Fadzli Rajali.

Mohamad Hidayat berkata menerusi penguasaan ilmu yang baik dan memahami isu-isu semasa, seseorang pengamal perubatan akan membantu menyelesaikan masalah ummah serta mampu memberi pandangan secara profesional dan bukan sekadar menjadi seorang pegawai perubatan sahaja.

“Terdapat juga beberapa kekeliruan seperti penggunaan vaksin bagi umat Islam dan isu-isu seperti itu harus dijelaskan secara profesional oleh pakar dalam bidang perubatan negara,” katanya.

Katanya, disebabkan itu, platform seperti konvensyen itu harus dimanfaatkan oleh pelajar untuk menunjukkan keupayaan menangapi isu-isu semasa yang relevan dengan masyarakat sekali gus memantapkan kefahaman dan memperbaiki persepsi ke atas graduan perubatan Malaysia dari luar negara.

Antara anggota panel dalam konvensyen itu ialah Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Faridah Abu Bakar, wakil Majlis Perubatan Malaysia Datuk Dr Azmi Shapie dan Pakar Pediatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah Dr Mohamad Zuraizi Jaafar.

Sementara itu timbalan pengarah projek konvensyen itu, Natasha as-Sakinah Mohamad Rosli berkata, konvensyen yang julung kali diadakan itu, turut menganjurkan aktiviti amal, projek Bakti Sosial kepada masyarakat setempat.

Katanya, para penduduk di kawasan Medan itu berpeluang mendapatkan perkhidmatan kesihatan seperti rawatan gigi dan pemeriksaan kesihatan secara percuma. -BERNAMA

Loading...