Pekerja Kilang Maut, Kereta Dilanggar Pacuan 4 Roda

KOTA TINGGI – Seorang pekerja kilang maut selepas kereta yang dipandunya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 48, Jalan Johor Bahru – Mersing berdekatan sebuah kilang papan, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Rahmat Othman berkata akibat kemalangan berkenaan, Muhammad Fakhri Kassim, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu dari arah Mersing menghala ke Kota Tinggi telah hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah motosikal.

Kenderaan itu kemudiannya masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa.

“Akibat dari kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang bahagian depan yang juga bapa saudaranya, Najib Ab Wahab, 40, patah kaki dan tangan kiri.

Bagaimanapun pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya lagi. – BERNAMA