Pegawai Dalam Latihan TLDM Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai dalam latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut (HAT Lumut), Perak semalam.

TLDM dalam satu kenyataan media berkata Pegawai Kadet Graduan (PKG) J. Soosaimanicckam, 27, mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih pada pukul 12.20 tengah hari.

Susulan itu, PKG berkenaan dihantar ke HAT Lumut bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“PKG telah diberikan bantuan penafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.45 tengah hari,” kata kenyataan itu.

PKG berkenaan melapor ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris I bagi menjalani latihan Kursus Kelayakan Pegawai Graduan pada 12 Mei lepas.

Menurut kenyataan itu lagi, punca kematian masih dalam siasatan dan pihak TLDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada bagi melihat kembali sekiranya terdapat sebarang perlanggaran terhadap prosedur yang ditetapkan.

“Jika terdapat isu pelanggaran SOP, TLDM tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang melanggari prosedur semasa melaksanakan tugas,” kata kenyataan itu. – BERNAMA