PDRM Nafi Pantau Komunikasi Kerabat Johor Termasuk TMJ

BATU PAHAT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya memantau mana-mana peralatan komunikasi milik kerabat Johor termasuk milik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim turut menyatakan pihaknya juga tidak memantau media sosial milik Tunku Ismail termasuklah e-mel baginda.

Katanya, PDRM kini lebih memberi tumpuan kepada pemantauan aktiviti yang lebih menjurus kepada yang berkaitan dengan keselamatan negara seperti kumpulan ekstremis dan pengganas.

“Di sini saya tegaskan yang kita tidak memantau mana-mana peralatan komunikasi baginda serta media sosial miliknya. Kita sudah mempunyai banyak urusan yang perlu dilakukan seperti memantau kumpulan penculikan, ekstremis dan sebagainya.

“Kita tidak membuat kerja pemantauan sedemikian kecuali jika ada yang memerlukannya termasuklah yang berkaitan dengan soal keselamatan,” katanya kepada pemberita di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Noor Rashid menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 576 pegawai dan anggota polis negeri ini yang bertugas ketika zaman darurat dan komunis.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Zakaria Ahmad.

Sementara itu, berkenaan kes penculikan yang berlaku di Pulau Gaya, Sabah, baru-baru ini pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran untuk menanganinya.

Kata beliau, walaupun perairan pulau terbabit di luar kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) tetapi tetap mendapat perhatian daripada pihak berkuasa negara ini.

“Pihak PDRM akan terus memastikan ancaman daripada penjenayah daripada selatan Filipina ini agar penduduknya berasa selamat, sekali gus tiada ancaman daripada penjenayah ini.

“Bagi kes culik yang berlaku baru-baru ini, ia turut membabitkan warga Indonesia dan kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Berkaitan dengan ahli perniagaan yang dikenali sebagai Jho Low, pihakanya belum melakukan tangkapan kerana individu berkenaan berada di luar negara.

Kata beliau, pihaknya tidak boleh menceroboh kedaulatan negara lain hanya kerana mahu menangkap seseorang dan perlulah mengikut undang-undang sesebuah negara.

“Kita akan membuat permohonan melalui Interpol untuk menangkap ahli perniagaan ini…kita akan mendapatkan kerjasama daripada mereka (Interpol) kerana kita tidak pasti dia di mana, serta juga akan mendapatkan kerjasama daripada kerajaan negara di mana dia berada,” katanya. – BERNAMA

Loading...