PBT Perlu Lebih Tegas Banteras Judi Haram – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa mencontohi ketegasan polis dalam membanteras kegiatan mesin judi haram yang semakin berleluasa di seluruh negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata PBT dan polis juga boleh menjalin kerjasama strategik dalam usaha membanteras kegiatan tersebut sehingga ke akar umbi.

Beliau berkata, kementerian memandang serius kegiatan yang dilihat semakin berleluasa di seluruh negara turut menimbulkan pelbagai masalah sosial terutama dalam kalangan remaja.

“PBT juga perlu bertindak lebih tegas sepertimana polis… perlu ada satu kemahuan untuk berubah daripada pihak PBT untuk melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih tegas.

“Kementerian menyokong ketegasan pihak polis dalam judi haram kerana kita memerlukan titik noktah untuk mengelakkan kegiatan itu daripada terus berleluasa. Dalam hal ini, pihak polis perlu diberikan kerjasama oleh semua pihak dalam membanteras perjudian haram,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar mengenai arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya semua Ketua Polis Negeri menggempur premis mesin judi haram dan pegawai polis terbabit diberikan tempoh seminggu atau berdepan tindakan ditukarkan 24 jam.

Abdul Rahman turut mengingatkan pihak PBT supaya sentiasa mengikut garis panduan yang disediakan kementerian bagi memastikan kesemua perancangan terutama dalam membanteras kegiatan judi haram dapat dilaksanakan sebaiknya tanpa sebarang pertindihan.

Katanya, selain PBT dan polis, pemimpin masyarakat juga perlu memainkan peranan serta memikul tanggungjawab, antaranya dengan memberi maklumat, pendedahan dan kesedaran tentang bahaya kegiatan mesin judi haram.

Beliau berkata, dalam kepesatan teknologi hari ini, wujud kegiatan judi haram dalam bentuk berbeza seperti aplikasi telefon bimbit dan komputer persendirian yang tidak dipantau sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

“Saya melihat ini adalah satu perkara yang juga perlu dipantau. Selain melalui kuasa penguatkuasa, ibu bapa dan keluarga terdekat juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam membanteras semua bentuk perjudian haram,” katanya. – BERNAMA

Loading...