Paul Low Terima Pengiktirafan Khas Hak Asasi Manusia

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menganugerahkan satu pengiktirafan khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan sempena Majlis Anugerah Hak Asasi Manusia Suhakam 2016.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pengiktirafan khas itu bagi menghargai Low yang memberikan sumbangan besar dan mempamerkan kecemerlangan dalam melindungi dan mempromosi hak asasi manusia dalam struktur kerajaan yang kompleks.

“Bersempena Majlis Anugerah Hak Asasi Manusia Suhakam 2016 enam penerima yang telah mempamerkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia mendapat penghargaan,” katanya.

Razali berkata enam penerima anugerah Suhakam 2016 itu adalah Dr Madhusudhan Shammugam (anugerah individu) yang menubuhkan Klinik Bergerak Teddy untuk menyediakan penjagaan perubatan percuma kepada gelandangan di Kuala Lumpur; Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (anugerah agensi kerajaan) kerana usaha mereka mempromosi kemajuan sosio-ekonomi untuk masyarakat setempat dan Stephen Then Vui Fah (anugerah media cetak) kerana usahanya menulis mengenai mereka yang tersisih kerana mempromosi kesamaan untuk semua.

Dua penerima lain ialah Boo Su-Lyn (anugerah media) yang menulis laporan berita luar biasa mengenai isu hak asasi manusia dan Mydin Mohamed Holdings Bhd (anugerah entiti perniagaan) kerana inisiatif murninya mempromosi pembangunan kerjaya untuk golongan kurang upaya dengan mengambil mereka bekerja.

Satu lagi penerima ialah Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) bagi anugerah pertubuhan masyarakat sivil kerana usaha berterusannya dan penglibatan aktif dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia menerusi inisiatif untuk menjana dan mengekalkan satu persekitaran yang sihat dan bersih untuk semua.

Razali berkata, Suhakam berharap komitmen Malaysia kepada hak asasi manusia akan diingati dan diraikan oleh semua warga Malaysia. – BERNAMA

Loading...