Parlimen Hanya Gubal Undang-Undang, Tiada Kuasa Isytihar

PUTRAJAYA – Parlimen melangkaui kuasa perundangannya apabila pindaan terhadap satu peruntukan dalam Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 diluluskan bagi mensabitkan individu yang dituduh mengedar dadah, demikian Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhujah Perkara 74(1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen hanya untuk membuat undang-undang.

“Parlimen tiada kuasa mengisytiharkan undang-undang. Itu bidang kuasa mutlak mahkamah,” hujahnya di hadapan panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.

Sri Ram berkata Parlimen melangkaui bidang kuasa perundangannya dengan menceroboh ruang lingkup badan kehakiman apabila ia menggubal Seksyen 37A ADB pada 2004 bagi menolak keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Muhammed bin Hassan mln Pendakwa Raya pada 1998.

Seksyen 37A ADB membenarkan mahkamah menggunakan anggapan memiliki dan mengedar dadah untuk mensabitkan tertuduh.

Dalam kes Muhammed Hassan mln Pendakwa Raya, Mahkamah Persekutuan memutuskan penggunaan anggapan berganda sebagai terlalu keras dan menindas.

Sri Ram berkata Seksyen 37A ADB tidak berperlembagaan kerana ia mencabuli Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap orang kepada kehidupan dan kebebasan peribadi.

Beliau berhujah dalam rayuan yang dikemukakan oleh dua wanita iaitu warga Filipina, Alma Nudo Atenda dan rakyat Thailand, Orathai Prommatat, yang membuat rayuan terhadap sabitan serta hukuman mati ke atas mereka bagi kesalahan mengedar dadah.

Bagi kedua-dua kes, pihak pendakwaan menggunakan anggapan berganda untuk mensabitkan kedua-dua mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, berkata Seksyen 37A ADB adalah undang-undang yang sah kerana ia digubal oleh Parlimen menurut Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dan seksyen itu selaras dengan Perkara 5 serta Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata kes perayu terbabit membabitkan isu perlembagaan dan mereka sepatutnya membuat rayuan menurut Perkara 4(3) dan Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dengan memohon kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, yang mengetuai panel sembilan hakim terbabit menangguhkan keputusan mahkamah kepada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Alma didakwa mengedar 2.5 kilogram methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 19 Ogos 2014 manakala Orathai dituduh mengedar 693.4 gram kokain di dalam sebuah bilik di hotel Arena Star Luxury di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur pada 1 Julai 2014.

Kedua-dua wanita terbabit didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Rayuan, masing-masing pada 2015 dan 2016. – BERNAMA

Loading...