Pakatan Belum Beri Kata Putus Cadangan Persempadanan Semula

Pakatan pembangkang PAS-PKR-DAP masih belum mencapai kata putus berkenaan usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses persempadanan semula kerusi Parlimen bagi meningkatkan jumlahnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen (DAP-Seremban) Anthony Loke berkata Pakatan Rakyat (PR) masih meneliti cadangan SPR itu sebelum membuat keputusan, menurut laporan portal Malaysiakini.

“Tetapi jika ada sebarang usaha untuk menambah kerusi bagi membantu Umno, kami akan menentangnya. Usaha itu perlu memenuhi prinsip satu orang satu undi,” katanya yang juga Setiausaha Organisasi DAP.

BACA – SPR Perlu Ambil Kira Faktor Cabaran Kawasan Luar Bandar

Loke turut memetik sumber yang enggan didedahkannya yang mengatakan SPR ada usaha untuk memecahkan kerusi Parlimen Rembau kepada dua bahagian iaitu Parlimen Rembau dan Parlimen Paroi biarpun di Rembau hanya ada 79,000 pengundi sahaja.

Kenyataan beliau itu sebagai maklumbalas kepada kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) BERSIH Dan NGO Tindak Malaysia yang membantah sebarang usaha untuk meningkatkan bilangan kerusi di Parlimen.

Sebarang usaha untuk menambah bilangan kerusi Parlimen perlu mendapat sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2)(ii), proses persempadanan semula bahagian pilihan raya akan dibuat dalam tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya urusan persempadanan terdahulu.

Ketika ini di Dewan Rakyat terdapat 222 kerusi. – MYNEWSHUB.CC

Loading...