Pahang Bertindak Atas Dakwaan Tasik Chini Diceroboh

SATU tindakan bersepadu dilakukan petang semalam melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan berikutan aduan mengenai aktiviti perlombongan yang berleluasa berlaku berhampiran Tasik Chini, Pekan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan aduan mengenai aktiviti itu diterima menerusi panggilan telefon daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari dan Jabatan Alam Sekitar pada 15 Februari lepas.

“Ekoran itu, tindakan bersepadu melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan dijalankan petang semalam ke tapak PLKN berkenaan dan kawasan lombong dimaksudkan.

“Ketika tindakan tersebut, didapati tiada kerja-kerja ataupun jentera terdapat di atas tapak tetapi yang didapati ialah bekas kerja-kerja penebangan pokok dan aktiviti mengorek tanah dipercayai untuk maksud penjualan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Status tanah pula, beliau berkata merupakan masih tanah kerajaan yang dalam proses untuk pertukaran hak milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK).

Wan Rosdy berkata berdasarkan perbincangan bersama jabatan terlibat, memutuskan agar PTG, PDT Pekan dan JMG mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan sambil menyediakan laporan lengkap mengenainya.

Katanya, keputusan juga dibuat agar satu pasukan pengawasan penguatkuasaan PTG ditempatkan di tapak lain dalam kawasan dipercayai diceroboh untuk tujuan perlombongan tersebut.

Dalam aduan diterima itu, aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan dilaporkan tiba-tiba meningkat dan melarat hingga menghampiri kawasan Tasik Chini.

Pengadu juga mendakwa berlakunya pergerakan secara tiba-tiba lori-lori mengangkut tanah yang berkemungkinan bijih besi, masuk dan keluar di atas tapak Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) selepas 10 malam setiap hari. – BERNAMA