Operasi SAR Helikopter Hilang Tertumpu Sekitar Muara Batang Lupar

KUCHING – Operasi mencari dan menyelamat sebuah helikopter yang hilang dalam penerbangan dari Betong ke Kuching petang semalam diteruskan pagi ini dengan tumpuan pencarian di sekitar muara Batang Lupar.

Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bin Bujang Pit berkata pencarian ialah berhampiran Sebuyau dan Triso.

Sungguhpun pihak berkuasa belum mengumumkan secara rasmi nama para penumpang dalam helikopter berkenaan, laporan menyebut bahawa ia membawa beberapa orang VIP termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Turut berada di dalam helikopter yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, yang juga merupakan Anggota Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri. Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan dan hilang 20 minit kemudian.

Sementara itu di SEBUYAU, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak pagi ini meneruskan operasi mencari dan menyelamat heikopter berkenaan dengan membuka tiga pos kawalan di Jeti Feri Sebuyau, Jeti Feri Triso dan Jeti Feri Lingga.

Ketua JBPM Zon 2 Sarawak Azman Julaihi yang juga komander operasi di Jeti Feri Sebuyau berkata pos kawalan itu dibuka sejak 3 pagi ini.

“Bomba melakukan pencarian secara proaktif. Sejumlah dua buah bot membawa 11 anggota sudah pun memulakan operasi mencari dan menyelamat bermula 7.50 pagi tadi.

“Ketika ini pencarian di kawasan air dilakukan menggunakan kaedah surface searching,” katanya kepada Bernama.

Azman berkata pos kawalan berkenaan memberi tumpuan pencarian di kawasan hulu Sungai Batang Lupar dan pesisir pantai Sebuyau, Sebangan dan Sadong Jaya.

“Pencarian di darat juga dilakukan menggunakan kenderaan pacuan empat roda di kawasan Sadong Jaya, Asajaya dan Jemukan,” katanya.

Azman berkata secara keseluruhan pos kawalan itu menempatkan 27 anggota daripada Balai Bomba Padungan, Batu Lintang, Tabuan, Kota Samarahan, Siburan dan Simunjan.

Pos kawalan itu mempunyai tiga buah bot, sebuah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda. – BERNAMA

Loading...