Op Selamat: 3,695 Saman Dikeluarkan Di Pahang

TEMERLOH – Polis Pahang telah mengeluarkan 3,695 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Op Selamat 13 sempena Aidilfitri 2018 sejak 8 Jun lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding Op Selamat bagi tempoh sama tahun lepas iaitu 3,958 saman.

“Kesalahan paling banyak dilakukan ialah memandu melebihi had laju dan memotong di garisan berkembar. Kita berharap semua pengguna jalan raya sedar bahawa had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri telah dikurangkan kepada 80km/j berbanding 90km/j sebelum ini.

“Tidak ada alasan mereka tidak tahu (pengurangan had laju) kerana telah diberikan publisiti dalam media selain pemasangan papan tanda pemberitahuan oleh pihak terlibat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Op Selamat 13 Peringkat Pahang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Kamarulzaman Jusoh, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Muhammad Abdullah, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri Noor Jihati Abdul Kadir, Pengarah Kesihatan negeri Dr Sha’ari Ngadiman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Mohd Sani Harul.

Selain itu, Rosli juga memaklumkan sebanyak 184 kes kemalangan telah direkodkan bagi tempoh sama untuk Op Selamat tahun ini, meningkat satu kes berbanding 183 pada tahun lepas.

“Bagaimanapun jumlah kemalangan maut sepanjang tiga hari pelaksanaan Op Selamat 13 meningkat kepada tujuh kes berbanding hanya tiga kes untuk tempoh sama tahun lepas.

“Kemalangan ini berlaku di jalan persekutuan dan jalan negeri. Ini perkara yang perlu diberi perhatian supaya bilangannya tidak meningkat. Kita tidak mahu menjadikan jalan raya sebagai sungai merah,” katanya.

Beliau berkata selain itu, Op Selamat 13 turut memberi tumpuan kepada kesalahan memandu di lorong kecemasan, memotong garisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Kita berharap pengguna jalan raya akan mematuhi peraturan dan nasihat bukan sahaja daripada polis, tetapi juga daripada agensi lain kerana kerjasama mereka dapat membantu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan merancang perjalanan mengikut jadual daripada syarikat konsesi lebuh raya khususnya Anih Berhad kerana kesesakan dijangka berlaku di Plaza Tol Gombak ekoran peningkatan kenderaan ke Pantai Timur,” katanya.

Selain itu, Rosli juga berharap masyarakat dapat memaklumkan ketiadaan mereka di rumah bagi membolehkan pihaknya membuat rondaan lebih kerap di kawasan perumahan untuk mengatasi masalah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

Katanya setakat 10 Jun, sebanyak 2,110 laporan balik kampung telah diterima dan polis menjangkakan 4,000 laporan akan dibuat sebelum Hari Raya, dijangka pada Jumaat ini.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kawasan perumahan yang banyak membuat laporan balik kampung tidak berhadapan dengan masalah pecah rumah disebabkan rondaan pencegahan jenayah yang kerap oleh pihak polis.

“Mereka boleh membuat laporan dengan mendapatkan borang di balai polis berhampiran atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) pada telefon pintar masing-masing,” katanya. – BERNAMA

Loading...