Norza Selar Tindakan BWF Tak Benarkan Pemerhati BAM

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyelar tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menarik balik pelantikan Jadadish Chandra sebagai pemerhati bagi sesi pendengaran berhubung kes mengatur perlawanan membabitkan dua pemain profesional negara.

Beliau berkata pengerusi panel pendengaran kes itu membuat keputusan tersebut selepas mendapati Jadadish memberikan maklumat kepada media sebaik sahaja prosiding hari pertama yang dijalankan di Singapura selesai.

“Kita berasa sedih dan terperanjat dengan tindakan pengerusi panel pendengaran memberi arahan supaya BAM tidak lagi menjadi pemerhati kerana Jadadish telah memberikan maklumat kepada media tentang prosiding itu.

“Saya telah mengarahkan Datuk Ng Chin Cai (Setiausaha Kehormat BAM) untuk menghantar protes dan memohon wakil pemerhati BAM diterima masuk semula, anggapan saya selama ini kita memihak kepada BWF dengan menyampaikan perkara sepatutnya tanpa mengganggu proses pendengaran itu.

“Saya membuat perkara yang bertepatan dengan kehendak peminat sukan badminton. Kita tidak mahu spekulasi tidak sepatutnya tersebar mengenai kes tersebut. BAM sangat beharap pengerusi panel pendengaran akan mempertimbangkan membenarkan pemerhati daripada BAM berada dalam prosiding itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Amanat Atlet Kebangsaan 2018 oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut laporan media tempatan semalam, Jadadish memaklumkan dua pemain badminton Malaysia masing-masing menghadapi enam pertuduhan mengatur perlawanan, yang kebanyakannya didakwa dilakukan pada 2013.

Pemain tersebut ialah pemain perseorangan Zulfadli Zulkiffli, 25, dan Tan Chun Seang, 31. – BERNAMA

Loading...