Noor Rashid Yakin Telah Beri Khidmat Terbaik Buat PDRM

KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yakin telah memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang hampir 34 tahun bersama pasukan beruniform itu sebelum bersara wajib dua minggu lagi.

“Secara rasminya saya masih mempunyai dua minggu lagi untuk berkhidmat, saya telah selesaikan misi saya, saya telah berikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas ditanya berhubung persaraannya.

Beliau ditemui selepas majlis penutupan bengkel ‘Train The Trainer: Bioincident Response Investigation Training and Evaluation (BRITE III)’ di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Dr Mohmad Asri Abd Ghani dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau akan menyambung perkhidmatannya, Noor Rashid enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, menyentuh tentang latihan Insiden Bio melibatkan bahan kimia, Noor Rashid berkata ia akan diperluaskan ke peringkat kontinjen negeri, supaya anggota polis mempunyai pengetahuan mengawal situasi di lokasi kejadian sebelum pakar tiba.

“Anggota perlu tahu macam mana hendak kawal situasi, insiden boleh berlaku di mana-mana… bila insiden berlaku kita boleh sentiasa bersedia,” katanya.

Sementara itu, Kamala Shirin dalam ucaptamanya berkata usaha sama itu membuktikan komitmen kedua-dua kerajaan untuk meningkatkan lagi kerjasama.

“Kami menjalin kerjasama dalam banyak bidang dan saya berharap untuk meneruskan kerjasama dalam bidang ini. Bengkel ini dan kerja yang kita jalankan bersama-sama bukan sahaja penting bagi Malaysia dan Amerika Syarikat tetapi juga dunia globalisasi,” katanya.

Bengkel selama lima hari itu dianjurkan STRIDE turut mendapat kerjasama pakar bidang berkaitan daripada Biro Siasatan Persekutuan (FBI). – BERNAMA

Loading...