NGO Dakwa Zakir Bukan Pakar Perbandingan Agama

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengunakan budi bicara beliau menangani kemarahan masyarakat bukan Islam negara ini keatas penceramah Islam terkemuka, Dr. Zakir Naik.

Naib Presidennya, MP Kumara Devan mendakwa masyarakat bukan Islam marah terhadap Dr. Zakir kerana ceramahnya berdasarkan perbandingan agama yang tidak adil dan tidak mengikut perbandingan agama yang sepatutnya.

Beliau dalam permintaannya itu turut mengingatkan Mahathir tentang janji kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR).

Kata beliau, antara peranan MPKR yang dijanjikan adalah menggubal Akta Keharmonian Nasional untuk menjamin kesaksamaan, menghapuskan diskriminasi dan menjadikan penyebaran kebencian antara kaum dan agama sebagai satu jenayah.

“Saya berharap Perdana Menteri mengunakan budi bicara beliau sebagai Bapa kepada semua anak-anak di Malaysia dalam menangani isu yang amat sensitif ini tanpa menguris hati keluarga saya dari kaum Islam mahupun dari kaum minoriti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MP Kumara berkata, Dr. Zakir bukanlah seorang sarjana lulusan perbandingan agama dari mana-mana pusat pengajian tinggi perbandingan agama, malah beliau yang mendakwa dirinya sebagai pakar tidak didokong dan disokong oleh mana-mana sarjana bukan Islam terhadap ilmu beliau.

Kata beliau, Dr. Zakir juga bukan seorang pakar Bahasa untuk mengupas maksud tersirat dan tersurat setiap kitab yang dibuat perbandingan.

“Kita sudah Merdeka 61 tahun dan setelah melalui peristiwa hitam Mei 13 kita mula memahami dan mengakui sikap bertolak ansur dan hormat menghormati antara kaum.

“Semua ini akan hilang dalam sekelip mata bila kita mengundang pihak ketika dalam urusan harian “rumah tangga” kita. Dalam setiap hubungan pihak ketiga pasti ada sesuatu kepentingan dan ini yang bakal menjadi duri dalam daging dalam hubungan kita yang sudah terjalin sebelum merdeka.

“Orang ketiga memang tidak tahu atau faham tradisi kita dan bagaimana kita menguruskan “keluarga” kita sekian lama,” katanya.

Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan sebelum PRU14 pada 9 Mei lalu mengumumkan Mira dan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) sebagai rakan sekutu Pakatan Harapan. – Mynewshub.tv

Loading...