Nelayan Indonesia Ceroboh Perairan Negara Ditahan

GEORGE TOWN – Lima nelayan Indonesia yang menangkap ikan di perairan negara ditahan di 40 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini semalam.

Seorang tekong dan empat awak-awak itu bersama sebuat bot nelayan tanpa nombor pendaftaran ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang yang membuat rondaan di kawasan itu pada pukul 12.45 tengah hari.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Kamaruszaman Abu Hassan berkata kesemua mereka yang ditahan itu berusia antara 16 dan 26 tahun dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

“Mereka dipercayai telah berada di laut untuk menangkap ikan sejak empat hari lepas…kami turut merampas peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan seberat 100 kilogram,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata semua hasil rampasan itu dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung, di sini.

Sejumlah 11 bot bersama 70 nelayan ditahan di perairan Pulau Pinang sejak Januari hingga semalam, katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – BERNAMA

Loading...