Najib Hos Majlis Makan Tengah Hari Untuk PM Belanda

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari meraikan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte yang berada di sini untuk lawatan rasmi sehari.

Majlis itu yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri, di Seri Perdana di sini juga dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan dua hala mengenai perkembangan terkini dan bertukar-tukar pandangan mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh, diikuti sidang media bersama di pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra.

Ini merupakan lawatan pertama Rutte ke Malaysia selepas dilantik sebagai  Perdana Menteri Belanda pada 14 Okt 2010. – BERNAMA