Naikkan Harga Rokok Bukan Penyelesaian Terbaik

SEREMBAN – Cadangan untuk menaikkan harga rokok, bukan penyelesaian terbaik untuk mengekang orang ramai daripada terus merokok, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kempen kesedaran bahaya rokok dan penguatkuasaan di sempadan negara, bagi mengekang kemasukan rokok seludup, perlu dipertingkatkan dan diperkasakan.

“Kalau naikkan harga rokok, perokok akan terus merokok dan mereka mungkin akan beralih kepada rokok yang lebih murah seperti rokok seludup.

“Bahkan ia merugikan kerajaan dari segi kutipan cukai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad berkata kempen kesedaran bahaya rokok perlu diperbanyakkan supaya orang ramai sedar bahayanya rokok kepada kesihatan, selain megetatkan penguatkuasaan undang-undang merokok di tempat awam.

“Saya tak galakkan orang hisap rokok untuk kutip cukai tetapi saya juga tidak nampak jumlah orang yang merokok berkurang disebabkan harga rokok tinggi.

“Itu bukan langkah yang menguntungkan sesiapa,” katanya.

Selasa lepas, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata terdapat perancangan untuk meningkatkan harga rokok pada masa terdekat bagi mengekang orang ramai daripada terus merokok.

Beliau berkata buat masa ini, harga rokok (paling tinggi) dijual RM17 sepeket dan harga itu mungkin akan dinaikkan kepada RM21.50 sepeket. – BERNAMA

Loading...