Mustapa Ketuai Delegasi Ke WEF Di Davos

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos-Klosters, Switzerland, dari 17 hingga 20 Jan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Miti berkata pada mesyuarat itu, Mustapa dijadual mengadakan pertemuan dua hala dan perniagaan bersama rakan sejawatannya, selain bertemu pemimpin syarikat multinasional bagi bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terkini membabitkan pelaburan dan perdagangan.

“Mustapa akan mengadakan perbincangan perniagaan sambil makan tengah hari bersama kira-kira 80 eksekutif korporat syarikat antarabangsa yang berminat meluaskan perniagaan dan pelaburan di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Miti berkata Mustapa juga akan mempengerusikan mesyuarat meja bulat bersama pelabur dari pelbagai industri seperti kejuruteraan dan mesin, farmaseutikal serta perkhidmatan perbankan dan kewangan, di Zurich.

Miti berkata tujuh syarikat tempatan, yang juga anggota WEF, akan turut serta dalam delegasi itu.

Syarikat terbabit terdiri daripada CIMB Group Holdings Bhd, Air Asia Bhd, Astro Malaysia Holdings Bhd, Khazanah Nasional Bhd, SapuraKencana Petroleum Bhd dan YTL Corporation Bhd.

Bertema ‘Kepimpinan yang Responsif dan Bertanggungjawab’, WEF 2017 dijangka menarik lebih 2,500 peserta, termasuk kira-kira 300 ketua negara atau kerajaan, wakil kerajaan dan 1,500 pemimpin korporat dari seluruh dunia.

WEF ialah organisasi bebas antarabangsa bagi kerjasama awam-sawsta, yang ditubuhkan pada 1971, dengan matlamat untuk menambah baik kedudukan ekonomi dunia. – BERNAMA

Loading...