MTUC Minta Wujudkan Skim Bantuan Kecemasan Hilang Pekerjaan

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mewujudkan skim bantuan kecemasan sebagai satu perlindungan sosial untuk rakyat negara ini yang kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba.

Setiausaha Agungnya, N.Gopal Krishnan berkata, nasib mereka yang kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba itu boleh juga dibaratkan seperti mereka yang ditimpa musibah banjir baru-baru ini yang memerlukan bantuan daripada kerajaan.

“Seperti banjir, pengangguran boleh datang tanpa disangka dan pekerja terlibat amat memerlukan bantuan kecemasan untuk meneruskan hidup sebelum dapat memulihkan keadaan.

“Bantuan ini dapat menghalang pekerja terbabit dan keluarga mereka daripada tergelincir ke cerun kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Gopal Krishnan memberi contoh Program Bantuan Pengangguran di Thailand menetapkan mereka yang menganggur akibat pemberhentian kerja atau diberhentikan akan menerima 50 peratus daripada gaji mereka daripada kerajaan untuk tidak lebih daripada 180 hari dalam satu tahun.

Bagaimanapun, katanya, terdapat syarat kursus untuk bantuan itu termasuk penggangur terbabit akan berusaha mencari pekerjaan atau apa sahaja yang latihan kemahiran yang dikehendaki.

Justeru, katanya, skim bantuan kecemasan di Malaysia wajar memberi bantuan 50 peratus daripada gaji atau RM1,000 yang mana yang lebih tinggi.

Gopal Krishnan mengakui kerajaan ada menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat untuk menjalankan latihan kepada penganggur agar terus berada dalam alam pekerjaan.

Dakwanya, kaedah itu bagaimanapun tidak boleh berjaya dalam kesemua kes mereka yang menganggur kerana masih ada mereka yang ditamatkan pekerjaan atau diberhentikan. – mynewshub.cc

Loading...