Motosikal Bertembung, 2 Penunggang Maut

GEORGE TOWN – Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dari arah bertentangan di Lebuhraya Thean Teik, Bandar Baru Farlim di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata dalam kemalangan kira-kira 7 pagi itu, kedua-dua penunggang motosikal itu, Pow Chin Huai, 63, dan Azri Sulaiman, 26, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang Pow dari arah Air Itam bertembung dengan motosikal Azri sehingga menyebabkan mereka tercampak beberapa meter di atas jalan raya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta kaki dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Anuar meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan itu agar tampil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, anak Pow yang mahu dikenali sebagai Teoh, 30-an, berkata ayahnya memang keluar awal setiap hari untuk ke pasar dan bersarapan di kedai kopi di kawasan Air Itam.

“Kami terkejut selepas dimaklumkan ayah kemalangan dan terus ke hospital, ingatkan dia hanya mengalami kecederaan rupanya telah meninggal dunia,” katanya yang sedih dengan kejadian itu. – BERNAMA

Loading...