MotoGP: Hafizh Syahrin Di Petak Ke-14

KUALA LUMPUR – Pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan Monster Yamaha Tech 3 meraih petak ke-14 pada Grand Prix Motosikal Catalan, di Barcelona, Sepanyol malam ini.

Pelumba baharu berusia 24 tahun itu mencatat masa satu minit dan 39.879 saat (s) dalam pusingan kelayakan kelas perlumbaan premier itu.

Pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo daripada pasukan Ducati memastikan petak pertama miliknya selepas menamatkan pusingan dengan catatan masa terpantas 1’38.680s, sementara pendahulu semasa MotoGP Marc Marquez daripada pasukan Repsol Honda (1’38.746s) dan rakan sepasukannya dari Itali, Andrea Dovizioso (1’38.923s), masing-masing akan bermula dari petak kedua dan ketiga.

Pelumba nekad dari Itali dan juara dunia sembilan kali Valentino Rossi daripada pasukan Movistar Yamaha MotoGP mengakhiri pusingan kelayakan hari ini di tempat ketujuh dengan catatan masa 1’39.266s sementara rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco meraih petak kelapan dengan masa 1’39.331s.

Dalam kategori Moto2, Khairul Idham Pawi daripada Idemitsu Honda Team Asia meraih kedudukan ke-20 selepas mencatat 1’45.272s dan petak tiga teratas milik pelumba Itali, Francesco Bagnaia (1’44.225s) daripada SKY Racing Team VR46, pelumba Dynavolt Intact GP Marcel Schrotter dari Jerman (1’44.340s) dan pelumba Sepanyol, Jon Mir daripada pasukan EG 0,0 Marc VDS .(1’44.340s)

Sementara itu, pelumba Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin menamatkan pusingak kelayakan di kedudukan ke-21 dalam kategori Moto3 dengan masa 1’49.983s.

Pelumba Leopard Racing, Enea Bastianini dari Sepanyol mencatat masa terpantas 1’48.806s, diikuti pelumba senegara Jorge Martin daripada Del Conca Gresini Moto3 (1’48.913s) di kedudukan kedua dan pelumba Jepun Tatsuki Suzuki (1’49.057s) daripada SIC58 Squadra Corse, di kedudukan ketiga. – BERNAMA