MOF Optimis Kutipan Cukai Langsung RM115b Tahun Ini

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan yakin Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mampu mencapai sasaran kutipan cukai langsung berjumlah RM115 bilion tahun ini walaupun berdepan cabaran ekonomi tidak menentu.

Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Lee Chee Leong berkata jumlah tersebut merupakan semakan semula pihaknya setelah kejatuhan harga minyak dunia, penyusutan kadar tukaran wang asing dan perubahan polisi cukai.

“Sehingga 30 September tahun ini, LHDNM membuat kutipan kasar cukai langsung sebanyak RM84.028 bilion.

“Ini menunjukkan 73.07 peratus daripada sasaran kementerian bagi tahun ini iaitu RM115 bilion,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Seminar Percukaiaan Kebangsaan 2016, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Lee berkata melalui Bajet 2017, kerajaan akan meneruskan dasar fiskal sedia ada agar berada pada kedudukan yang baik dan berkembang, di samping inisiatif untuk meningkatkan sumbangan pelaburan sektor swasta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata selain kejatuhan harga minyak dunia, faktor kepada sasaran kutipan cukai yang lebih rendah berbanding 2015 sebanyak RM121.236 bilion, juga disebabkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April, 2015.

“Apabila GST diperkenalkan, kerajaan telah menurunkan kadar cukai pendapatan untuk memberi ruang kepada GST.

“Kita jangkakan apabila GST stabil dan keadaan ekonomi semakin pulih, kita dapat meningkatkan semula kutipan cukai,” katanya.

Seminar sehari itu juga diadakan serentak di 23 lokasi di seluruh negara sebagai usaha meningkatkan kefahaman mengenai percukaian dalam kalangan masyarakat.

Turut dibincangkan ialah cadangan Bajet 2017 dengan pindaan ke atas akta-akta yang ditadbir LHDN seperti Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 dan Akta Setem. – BERNAMA